Seringkali kita mendengar penghidap rabun tidak perlu lagi memakai
kacamata selepas menjalani pembedahan LASIK. Perkataan LASIK ini sinonim di
kalangan umum sebagai satu teknik pembedahan pembetulan untuk merawat masalah
rabun. Namun, ada sesetengah penghidap rabun yang berkunjung ke Klinik Mata
untuk penilaian awalan, mereka didapati tidak sesuai untuk menjalani LASIK.
Oleh demikian, pakar mata mencadangkan beberapa teknik lain seperti PRK, LASEK,
Epi-LASIK dan SMILE. Hal ini menimbulkan kekeliruan di kalangan pesakit dan ada
juga di antara mereka berasa kecewa setelah diberitahu LASIK tidak sesuai untuk
mata mereka. Ini kerana, persepsi umum bahawa teknik pembedahan untuk merawat
rabun hanyalah menerusi kaedah LASIK, walaupun hakikatnya terdapat beberapa
pilihan teknik lain. Dalam artikel ini, penulis ingin mengupas mengenai istilah
tepat mengenai rawatan pembedahan rabun penglihatan dan juga pilihan lain
teknik pembedahan yang digunakan dalam perubatan moden.
Kaedah untuk merawat rabun melalui pembedahan secara umumnya
diistilahkan sebagai pembedahan pembetulan refraksi. Kaedah pembetulan yang
kerap digunakan dalam perubatan moden adalah melibatkan aplikasi laser (laser
eksimer) pada lapisan paling luar mata (kornea). Secara spesifik, kaedah ini
merupakan pembedahan laser refraksi kornea (laser corneal refractive surgery).
Kaedah pancaran laser eksimer ini boleh dilakukan melalui beberapa teknik
pembedahan refraksi iaitu ‘photorefractive keratectomy’ (PRK), ‘laser in-situ
keratomileusis’ (LASIK), ‘laser- assisted subepithelial keratectomy’ (LASEK),
‘epithelial laser in-situ keratomileusis’ (Epi- LASIK) and ‘small incision
lenticule extraction’ (SMILE). Kesemua teknik ini digunakan untuk mengubah
bentuk kornea dan seterusnya membetulkan rabun seseorang.
Sorotan sejarah pembedahan laser refraksi kornea pertama dilakukan
ke atas mata manusia ialah pada tahun 1987 menerusi teknik PRK menggunakan
pancaran laser eksimer argon fluorida 193nm. Selepas itu, mata pisau kecil
(mikrokeratome) diperkenalkan dan diubahsuai untuk pembedahan teknik LASIK di
awal tahun 90-an. Sejak pengenalan LASIK, teknik ini menjadi teknik pembedahan
laser refraksi yang paling popular di seluruh dunia. Pada tahun 2000, pihak
Food and Drug Administration (FDA) Amerika Syarikat telah meluluskan penggunaan
laser femtosecond untuk menghasilkan bukaan kornea (flap) yang lebih selamat
berbanding mikrokeratome.
Di sebalik populariti LASIK, kebanyakan pakar bedah refraksi
percaya bahawa PRK merupakan satu pilihan yang lebih selamat kerana ia tidak
melibatkan penghasilan bukaan kornea. Setiap teknik mempunyai kriteria
pemilihan khas bergantung kepada parameter kornea mata pesakit. Teknik LASIK
melibatkan penghasilan bukaan kornea menggunakan mikrokeratome, laser
femtosecond atau teknologi terbaru iaitu laser pico. Bukaan kornea diangkat
dengan cermat bagi mendedahkan lapisan stroma kornea (lapisan ketiga kornea)
yang mana laser eksimer akan dipancarkan untuk mengubah bentuk kornea. Untuk
pesakit yang menghidap rabun jauh, rawatan laser eksimer adalah lebih tertumpu
pada kawasan tengah stroma kornea. Selepas rawatan laser eksimer selesai,
bukaan tersebut dikembalikan pada kedudukan asal untuk melitupi kawasan rawatan
yang terlibat. Tidak seperti teknik PRK, LASIK mengekalkan lapisan pertama
kornea (epitelium) pada kawasan tengah mata. Pengekalan lapisan epitelium ini
memberi kelebihan dari segi keselesaan sepanjang tempoh awal selepas
pembedahan, proses penyembuhan lebih cepat dan mengurangkan risiko komplikasi
selepas pembedahan seperti kekabusan kornea yang kerap ditemui pada mata yang
menjalani teknik PRK.
Perbezaan utama teknik PRK dan LASIK ialah cara bukaan kornea
dilakukan. Menerusi teknik PRK, lapisan epitelium tengah kornea diasingkan
sebelum rawatan laser eksimer, tanpa menglibatkan penghasilan bukaan kornea.
Sebaliknya, alkohol pada kepekatan khas digunakan untuk proses pengasingan
lapisan epitelium tersebut. Kanta lekap lembut akan dipasangkan selepas proses
rawatan laser eksimer untuk mengurangkan ketidakselesaan mata. Teknik PRK
sesuai untuk pesakit yang mempunyai kornea nipis, saiz anak mata besar dan
sejarah pemindahan kornea.
Selain daripada teknik PRK dan LASIK, teknik LASEK dan Epi-LASIK
merupakan kombinasi dan pengubahsuaian untuk teknik PRK dan LASIK. Dengan
pengubahsuaian ini, ia menjadikan teknik LASEK dan Epi-LASIK sesuai untuk
pesakit yang gagal saringan penilaian PRK atau LASIK. Teknik ini dapat
mengurangkan komplikasi selepas pembedahan termasuk kedutan bukaan dan
keradangan kornea selepas LASIK, dan kesakitan berlebihan dan pemulihan
penglihatan perlahan selepas PRK. Teknik LASEK dan Epi-LASIK menglibatkan
penghasilan satu lembaran kornea lebih nipis berbanding bukaan kornea dalam
LASIK. Perbezaan antara teknik LASEK dan Epi-LASIK pula adalah cara penghasilan
lembaran kornea. Teknik LASEK menggunakan alkohol, manakala teknik Epi-LASIK
menggunakan pisau epikeratome untuk menghasilkan lembaran kornea.
Teknik terbaru dalam pembedahan laser refraksi kornea yang
dikenali dengan singkatan SMILE adalah satu teknik yang tidak melibatkan bukaan
kornea. Teknik ini diperkenalkan pada tahun 2011 dan mendapat kelulusan FDA
pada penghujung 2016. Tidak seperti teknik sebelumnya yang melibatkan bukaan
besar kornea, SMILE hanya memerlukan hirisan kecil kornea bersaiz kurang 4mm
sahaja. Pakar mata menggunakan pancaran laser femtosecond untuk menghasilkan
satu lentikul berbentuk seakan-akan kanta lekap di antara tisu kornea. Lentikul
tersebut ditarik keluar melalui hirisan kecil untuk mengubah bentuk kornea,
seterusnya pembetulan rabun penglihatan berlaku. Hirisan kecil kornea ini akan
sembuh dalam beberapa hari tanpa sebarang jahitan diperlukan. Tanpa penglibatan
bukaan besar kornea seperti teknik LASIK, tempoh penyembuhan adalah lebih cepat
dan dapat mengurangkan risiko mata kering. Masa pembedahan juga dapat
dipendekkan kerana hanya melibatkan penggunaan laser femtosecond untuk
penghasilan lentikul dan seterusnya hirisan kecil di permukaan kornea.
Walaupun prosedur setiap teknik adalah berbeza secara teknikal,
asas pembedahan refraksi ini adalah melibatkan rawatan penyingkiran tisu kornea
untuk mengubah keseluruhan kelengkungan kornea. Semua teknik tersebut adalah selamat, terbukti
berkesan untuk merawat rabun penglihatan dan mempunyai kelebihan dan kekurangan
tersendiri. Setiap mata pesakit adalah unik dan tidak semua teknik yang
dinyatakan dalam artikel ini adalah bersesuaian dengan profil pesakit. Oleh
demikian, disarankan pesakit perlu menjalani penilaian awal terlebih dahulu dan
mendapat nasihat pakar berkenaan kesesuaian mata terhadap teknik-teknik yang
ada, risiko dan komplikasi untuk setiap teknik. Oleh itu, usahlah gusar dan
kecewa apabila pakar mata menyatakan mata anda adalah tidak sesuai untuk
menjalani LASIK.
Disediakan oleh,
Asst. Prof. Dr. MD MUZIMAN SYAH MD MUSTAFA
BOptom(Hons), MHScOptom, PhD
Artikel asal boleh dibaca di https://www.amoptom.org/rawatan-rabun-menggunakan-teknik-pembedahan-moden-adakah-hanya-lasik-solusinya/
Seringkali kita mendengar penghidap rabun tidak perlu lagi memakai
kacamata selepas menjalani pembedahan LASIK. Perkataan LASIK ini sinonim di
kalangan umum sebagai satu teknik pembedahan pembetulan untuk merawat masalah
rabun. Namun, ada sesetengah penghidap rabun yang berkunjung ke Klinik Mata
untuk penilaian awalan, mereka didapati tidak sesuai untuk menjalani LASIK.
Oleh demikian, pakar mata mencadangkan beberapa teknik lain seperti PRK, LASEK,
Epi-LASIK dan SMILE. Hal ini menimbulkan kekeliruan di kalangan pesakit dan ada
juga di antara mereka berasa kecewa setelah diberitahu LASIK tidak sesuai untuk
mata mereka. Ini kerana, persepsi umum bahawa teknik pembedahan untuk merawat
rabun hanyalah menerusi kaedah LASIK, walaupun hakikatnya terdapat beberapa
pilihan teknik lain. Dalam artikel ini, penulis ingin mengupas mengenai istilah
tepat mengenai rawatan pembedahan rabun penglihatan dan juga pilihan lain
teknik pembedahan yang digunakan dalam perubatan moden.
No comments:
Post a Comment